Tag Archives: tradisional

Adakah produk kesihatan tradisonal dan alternatif bebas daripada bahan kimia sepenuhnya?

Pengenalan

Zaman sudah berubah sekarang. Masyarakat umumnya lebih prihatin dalam penjagaan kesihatan diri. Masing-masing berusaha untuk mendapatkan maklumat tentang cara perawatan yang berkesan untuk penyakit mereka.

Seiring dengan ledakan teknologi maklumat. Telefon mudah alih dengan sambungan internet boleh diakses di mana-mana sahaja untuk menjawab persoalan mereka.

Namun, tidak semua maklumat di internet boleh dipercayai. Ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan dengan masyarakat yang terdesak untuk mendapatkan rawatan ini.

Lantas, muncul pelbagai produk kesihatan alternatif, kononnya tidak mempunyai bahan kimia yang boleh memudaratkan badan.

Perlu kita ingat, apa sahaja makanan atau minuman yang masuk ke dalam badan kita, akhirnya akan dibuang melalui sistem perkumuhan, iaitu salah satunya melalui air kencing.

Buah pinggang memainkan peranan yang penting untuk menapis bahan-bahan ini, sebelum keluar dari badan.

Sumber gambar: cikguraimi.blogspot.my
Sumber gambar: cikguraimi.blogspot.my

Jadi, walaupun produk kesihatan tersebut dikatakan hanya mempunyai herba dan bahan semulajadi, buah pinggang perlu bekerja keras untuk menapis bahan-bahan ini.

Lebih-lebih lagi, terdapat banyak produk kesihatan tradisional dan alternatif yang dicampurpalsu dengan bahan ubatan yang biasa dijumpai di hospital. Oleh itu, kami daripada RahsiaFarmasi.com rasa terpanggil untuk berkongsi maklumat yang penting ini.

Bahan larangan yang dikesan.

Secara umumnya bahan larangan yang biasa dikesan dalam produk tradisional seperti maajun atau jamu tidak berdaftar adalah bahan aktif bagi ubat-ubat terkawal yang hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar atau oleh ahli farmasi sahaja.

Antara bahan larangan yang telah dikesan dalam produk tradisional adalah :

  • Ubat tahan sakit seperti phenylbutazone, ibuprofen dan diclofenac
  • Steroid seperti dexamethasone dan prednisolone
  • Ubat rawatan kencing manis seperti metformin dan glibenclamide.

diabetes-1326964_960_720

Bahan-bahan larangan ini adalah bergantung kepada tuntutan perubatan yang diisytiharkan pada produk tersebut.

Antara tuntutan yang lazim bagi produk tradisional adalah untuk rawatan sakit tulang, sendi, menambahkan tenaga, meningkatkan selera makan dan lain-lain lagi.

Kesan Sampingan

Pengguna yang mengambil produk tradisional yang dicampur racun terdedah kepada risiko kesan sampingan kerana kuantiti yang dimasukkan ke dalamnya adalah tidak konsisten dan boleh menjadi terlalu tinggi ataupun rendah.

Ini kerana produk tersebut tidak dikilangkan di premis mengikut piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP). Pada awalnya pengguna akan merasakan produk tersebut berkesan dan memberikan kesan yang diingini, namun akhirnya pengguna akan mengalami kesan buruk pengambilan produk tersebut.

Kesan sampingan yang dialami mungkin berbeza antara seorang pengguna dengan seorang pengguna yang lain bergantung kepada faktor-faktor seperti taraf kesihatan, gaya hidup, pemakanan dan sebagainya.

Tempoh masa untuk pengguna tersebut menunjukkan kesan sampingan dan tahap keseriusannya juga berbeza.

Antara bahan larangan pada produk tradisional dan kesan sampingan yang diakibatkan olehnya adalah seperti berikut :

  • Steroid – penambahan selera makan yang luar biasa, sembab, melambatkan penyembuhan luka, meningkatkan tekanan darah, dan kerosakan buah pinggang
  • Phenylbutazone – pendarahan dalam perut, kesn melecur pada kulit, penglihatan kabur dan kerosakan buah pinggang
  • Ubat Anti- Inflamatori Bukan Steroid (NSAIDS) – gastrik, pendarahan dalam perut dan kerosakan buah pinggang
Sumber gambar: http://kidneysdisease.com/kidney-disease/
Sumber gambar: http://kidneysdisease.com/kidney-disease/

Tindakan yang perlu diambil oleh pengguna

Pengguna yang mengalami kesan sampingan seperti di atas ataupun mengalami kesan segera apabila menggunakan produk maajun atau jamu tradisional dinasihatkan supaya berhenti daripada menggunakan produk tersebut.

Dapatkan nasihat dan rawatan daripada pengamal perubatan berdaftar.

Sila bawa bersama produk yang diambil untuk memudahkan pengesanan.

Pengguna juga boleh melaporkan sebarang salahlaku berhubung penjualan produk tidak berdaftar kepada pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi di negeri masing samada dengan datang sendiri, melalui surat, atau melalui  telefon ke  Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM.

Semua maklumat yang diterima adalah rahsia dan tidak akan disebarkan kepada pihak lain.

Sumber: KnowYourMedicine