Tag Archives: Patients’ right

HAK-HAK PESAKIT: INI YANG PERLU ANDA KETAHUI JIKA ANDA SEORANG PESAKIT

Kebanyakan kita sudah tentu pernah mengalami sakit seperti demam dan selesema. Tidak kurang juga ada sesetengah individu yang diuji dengan penyakit kronik seperti strok mahupun kanser.

Realiti ini tidak dapat disangkal lagi kerana kita manusia, bukan robot!

Kesihatan yang terjejas boleh mempengaruhi kehidupan seharian
Sumber: Google Images

Tahukah anda, sebagai pesakit, anda memiliki hak-hak anda tersendiri?

Ya, hak-hak pesakit (patients’ rights) sudah banyak dibincangkan di peringkat antarabangsa. Malah anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan isu ini di laman web World Health Organization (WHO). Di situ, anda juga boleh membaca tentang hak-hak pesakit di negara-negara lain.

Hak-hak pesakit adalah berbeza bagi setiap negara bergantung kepada praktis dan amalan perubatan mengikut norma sosial dan budaya masyarakat negara tersebut.

APAKAH HAK-HAK TERSEBUT?

Antara hak-hak pesakit secara umumnya adalah seperti berikut:

  1.  KHIDMAT PERUBATAN YANG SELAMAT

Setiap pesakit berhak mendapat khidmat perubatan yang selamat tanpa mengira bangsa dan agama.

Hubungan dan kerjasama yang baik antara pegawai perubatan dan pesakit
Sumber: Google Images

2. KHIDMAT BERTERUSAN

Setiap pesakit berhak mendapat khidmat perubatan yang berpatutan dan berterusan.

3. MAKLUMAT JELAS

Pesakit dan waris berhak mengetahui maklumat tentang penyakit yang dihidapi melalui penjelasan dalam istilah biasa secara jelas, ringkas dan padat untuk sebarang rawatan atau prosedur yang dicadangkan beserta alternatifnya. Maklumat perlu disertakan dengan risiko yang berkemungkinan berlaku, kesan sampingan dan kemungkinan kegagalan.

4. KEIZINAN PESAKIT

Keizinan pesakit perlu diperolehi sebelum mana-mana prosedur dapat dijalankan. Bagi kes pesakit di bawah umur, orang kelainan upaya atau warga emas, keizinan perlu diperolehi daripada ibu atau bapa atau penjaga yang sah.

5. KERAHSIAAN MAKLUMAT DAN REKOD PERUBATAN PESAKIT

Semua maklumat pesakit adalah sulit dan tidak boleh dibincangkan secara persendirian dengan orang lain selain daripada golongan professional yang terlibat.

6. PRESKRIPSI

Akta Racun 1952 mewajibkan anda untuk mendapatkan preskripsi dari pengamal perubatan terlebih dahulu. Surat preskripsi tersebut yang mempunyai semua maklumat berkaitan ubat-ubatan anda diperlukan bagi pembekalan ubat (Racun Kumpulan B) oleh ahli farmasi berlesen.

7. LABEL UBAT

Semak butiran pada label botol/bungkusan ubat yang dibekalkan pada anda
Sumber: Google Images

Ahli farmasi dan doktor perlu meletak label pada bekas/botol ubat. Item yang perlu ada pada label tersebut termasuklah nama ubat, nama dan alamat pembekal, nama pesakit dan arahan penggunaan yang mencukupi. Sila pastikan maklumat pada label adalah lengkap sebelum anda beredar dari klinik atau farmasi yang dikunjungi.

8. PENDIDIKAN DAN KAUNSELING

Pesakit dan waris wajar diberi khidmat nasihat yang berkaitan dengan keadaan kesihatan beliau, di samping pendidikan dan kaunseling tentang penjagaan diri, pengambilan ubat, termasuk kesan sampingan yang berkemungkinan dan langkah-langkah keselamatan.

Komunikasi untuk menyampaikan maklumat kepada pesakit
Sumber: Google Images

Demi memastikan hak-hak pesakit terus dilindungi, pemahaman kepada semua pegawai kesihatan termasuk doktor, ahli farmasi, jururawat dan lain-lain yang berkaitan perlu diberikan.

PILIHAN DI TANGAN PESAKIT DAN WARIS

Sumber: Google Images
Sumber: Google Images

Ya, pesakit dan warisnya mempunyai pilihan sama ada mahu meneruskan rawatan atau tidak setelah perbincangan yang matang bersama doktor. Dan ia akhirnya terpulang kepada keputusan pesakit. Tapi yakinlah, setiap pegawai kesihatan sentiasa mahukan yang terbaik buat pesakit. Mereka inilah yang ahli (mahir) dalam bab kesihatan.

KONKLUSI

Pesakit perlu mengetahui hak-hak mereka. Ini adalah supaya standard perkhidmatan perubatan dapat dipenuhi dan kesihatan mereka sentiasa diutamakan.

Di samping itu, hubungan antara pegawai kesihatan dan pesakit adalah komponen penting dalam memastikan perkhidmatan perubatan yang diterima pada tahap yang optimum. Kerjasama yang baik daripada pesakit dan keluarganya sangat membantu mereka dalam menjalankan tugas. Marilah kita sama-sama mewujudkan kerjasama yang baik ini.

Rujukan:

1. Patients’ rights (WHO)
2. Hak-hak pesakit dan keluarga (Hospital Langkawi)
3. Hak-hak pesakit (Hospital Pitas)