Tag Archives: Beza Farmasi dengan Doktor

Aku Pegawai Farmasi bukan Doktor ;-D

 

doktor-vs-farmasi

Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera semua….semoga semua pembaca Rahsia Farmasi sentiasa dalam keadaan sihat hendaknya.

Perasan tak bila kita pergi ke wad atau masuk ke kawasan hospital, selalu je nampak staf hospital yang memakai lab kot putih..

Terus dalam hati terdetik, “mesti doktor ni”. Sebenarnya, ada banyak lagi kerjaya lain yang memerlukan mereka untuk memakai lab kot putih selain doktor. Saya ambil satu kerjaya yang dekat dengan lab kot putih ni & kerap juga memerlukan pemakaian lab kot apabila bertugas di hospital iaitu Pegawai Farmasi.

Ramai yang tertanya- tanya, lebih- lebih lagi bakal lepasan SPM atau Matrikulasi, apakah sebenarnya peranan Pegawai Farmasi di hospital? Kenapa kerjaya ni selalu dibayangi oleh kerjaya yang tampak gah di mata orang awam iaitu tidak lain & tidak bukan; Pegawai Perubatan

Jadi untuk itu, saya mengambil inisiatif untuk menulis artikel perbezaan aspek kerjaya seorang Doktor & Pegawai Farmasi ini bagi membantu orang ramai melihat perbandingan kelebihan dan kekurangan kedua-dua kerjaya ini.

a) Berapa lamakah durasi di peringkat pembelajaran?
Elok rasanya untuk memulakan perbandingan antara dua kerjaya yang mulia ini seawal di alam pembelajaran lagi. Kebiasaanya, tempoh belajar bagi seorang graduan farmasi mengambil masa selama 4 tahun (maksimum) berbanding MBBS iaitu doktor, mengambil tempoh yang agak panjang sedikit iaitu sekitar 5 tahun. Dengan erti kata lain, graduan farmasi boleh menamatkan pelajaran dalam umur 23, 24 atau 25 tahun. Manakala, graduan perubatan boleh menamatkan ‘medical school’ kebiasaanya pada sekitar umur 24, 25 atau 26 tahun.

b) Adakah Pegawai Farmasi juga memperoleh “Title” & Gelaran yang sama seperti Pegawai Perubatan?
Berkenaan pangkat dan darjat, graduan MBBS atau Doktor akan mendapat title “Dr” singkatan kepada gelaran Doktor. Gelaran yang diiktiraf di seluruh dunia ini menggendong tanggungjawab & amanah yang sangat besar di sisi masyarakat. Title Dr ini amat besar maknanya dan menjadi sanjungan masyarakat terutamanya di Malaysia kerana apabila graduan berjaya menamatkan pembelajaran, mereka akan dianugerahi gelaran ini. Bagi Pegawai Farmasi pula, tiada gelaran khusus yang akan diperolehi. Biasanya Pegawai Farmasi akan dipanggil Encik, Cik, Tuan atau Puan diikuti nama mereka. Sebelum ini saya ada melihat Pegawai Farmasi yang meletakkan title Rph di belakang nama mereka, namun penggunaannya kurang meluas, sama seperti title Ir bagi golongan Engineer. Dalam aspek ini, pangkat dan darjat seorang Doktor mungkin dipandang tinggi oleh masyarakat berbanding kerjaya-kerjaya lain .

c) Gred & Gaji? Sama ke?
Apabila kita berbicara mengenai isu gred & gaji, sebenarnya agak sensitif, tapi tidak dinafikan sebenarnya ramai yang ingin tahu adakah gred & gaji antara dua pekerjaan ini sama atau tak. Berkenaan dengan gred gaji, gred gaji permulaan seorang Doktor adalah UD41. Manakala gred gaji Pegawai Farmasi adalah UF41, sama dengan gred gaji seorang Doktor Pergigian, U41, begitu juga gaji seorang guru, DG41. Bermakna, ke empat-empat kerjaya ini berada pada tingkatan yang sama iaitu 41, tetapi mungkin terdapat perbezaan daripada elaun-elaun dan elaun kritikal bergantung kepada jenis tugas seperti oncall dan sebagainya.

Namun satu analisa yang dibuat oleh portal pengambilan pekerja dalam talian, Jobstreet.com, sector Farmasi menawarkan gaji tertinggi untuk graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian dengan pendapatan RM 3600 Sebulan sebagai gaji permulaan. Menurut portal itu lagi, walaupun doktor muda boleh mencapai gaji sebanyak RM 2700, gaji mereka boleh meningkat dengan pantas kepada anggaran RM 3900 sebulan dengan hanya tiga atau empat tahun pengalaman.

unnamed

Sumber: Berita Harian

d) Tanggungjawab, waktu kerja dan cuti
Bila berbicara mengenai  gaji siapa je yang tak rasa seronok bukan? Tapi ia perlu diseimbangkan dengan bebanan tugas kerjaya. Terdapat perbezaan bebanan tugas yang amat ketara bagi seorang Doktor dengan seorang Pegawai Farmasi. Walaupun bebanan kerja dan waktu kerja bagi sebuah hospital dengan sebuah hospital yang lain adalah berbeza, namun secara relatifnya, beban tugas kerja seorang Doktor adalah amat berat berbanding beban tugas seorang Pegawai Farmasi. Sebagai contoh, waktu kerja doktor bermula seawal 6.30 pagi dan berakhir pada 5 petang 6 hari seminggu. Namun jarang sekali seorang Doktor dapat pulang awal. Kebiasaannya terpaksa pulang lewat kerana bebenan tugas yang banyak. Bebanan tugas yang banyak itu juga menyebabkan seorang Doktor sukar untuk mendapat cuti pendek mahupun panjang.

Manakala waktu kerja seorang Pegawai Farmasi adalah pada pukul 8 pagi dan tamat pada pukul 5 petang. Kebiasaannya Pegawai Farmasi mudah untuk mendapat cuti bagi menghabiskan jumlah waktu oncall jika dapat mencari penganti untuk tugas-tugas yang ada. Jadi kesimpulannya, walaupun gaji seorang Doktor adalah lebih tinggi, namun seorang Pegawai Farmasi boleh menikmati kehidupan yang lebih seimbang dengan gaji yang diperoleh. Kerja tu kerja lah juga, tapi masa untuk diri dan keluarga tidak sepatutnya diambil mudah, bukan? =)

Sebenarnya banyak lagi aspek yang boleh dibicarakan berkenaan dengan perbandingan antara kerjaya sebagai Doktor dan Pegawai Farmasi.
Kerjaya sebagai seorang Doktor adalah satu kerjaya yang mulia kerana dengan ilmu yang ada, seorang Doktor boleh menyelamatkan nyawa seseorang dan menyembuhkan penyakit yang dialami oleh seseorang pesakit

Begitu juga dengan kerjaya sebagai seorang Pegawai Farmasi. Walaupun posisi seorang Pegawai Farmasi lebih kepada ‘second line’ (di hospital) berbanding Doktor, peranan Pegawai Farmasi tidak boleh dinafikan dalam memastikan terapi yang diberikan kepada pesakit adalah bertepatan dan efektif.

Kesimpulannya, kedua- dua kerjaya ini apabila dilihat dari sudut yang mendalam, ianya melengkapi antara satu sama lain. Begitu juga dengan “Team Health Care Provider” lain di Hospital seperti jururawat, pembantu perubatan, pembantu farmasi dan sebagainya.

Akhir kata, semoga artikel kali ini memberi sedikit info yang berguna kepada anda dan moga tidak timbul lagi isu Doktor lagi berperanan dari pegawai farmasi ataupun sebaliknya.

Sekian, Wassalam. =)

Rujukan:

Akhbar Berita Harian

Top 10 Best Paying Jobs in Malaysia. Retrieved from:

http://www.jobstreet.com.my/career-resources/top-10-best-paying-jobs-in-malaysia/#.V9v-Kvl95dg