Category Archives: Kerjaya Ahli Farmasi

Aku Pegawai Farmasi bukan Doktor ;-D

 

doktor-vs-farmasi

Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera semua….semoga semua pembaca Rahsia Farmasi sentiasa dalam keadaan sihat hendaknya.

Perasan tak bila kita pergi ke wad atau masuk ke kawasan hospital, selalu je nampak staf hospital yang memakai lab kot putih..

Terus dalam hati terdetik, “mesti doktor ni”. Sebenarnya, ada banyak lagi kerjaya lain yang memerlukan mereka untuk memakai lab kot putih selain doktor. Saya ambil satu kerjaya yang dekat dengan lab kot putih ni & kerap juga memerlukan pemakaian lab kot apabila bertugas di hospital iaitu Pegawai Farmasi.

Ramai yang tertanya- tanya, lebih- lebih lagi bakal lepasan SPM atau Matrikulasi, apakah sebenarnya peranan Pegawai Farmasi di hospital? Kenapa kerjaya ni selalu dibayangi oleh kerjaya yang tampak gah di mata orang awam iaitu tidak lain & tidak bukan; Pegawai Perubatan

Jadi untuk itu, saya mengambil inisiatif untuk menulis artikel perbezaan aspek kerjaya seorang Doktor & Pegawai Farmasi ini bagi membantu orang ramai melihat perbandingan kelebihan dan kekurangan kedua-dua kerjaya ini.

a) Berapa lamakah durasi di peringkat pembelajaran?
Elok rasanya untuk memulakan perbandingan antara dua kerjaya yang mulia ini seawal di alam pembelajaran lagi. Kebiasaanya, tempoh belajar bagi seorang graduan farmasi mengambil masa selama 4 tahun (maksimum) berbanding MBBS iaitu doktor, mengambil tempoh yang agak panjang sedikit iaitu sekitar 5 tahun. Dengan erti kata lain, graduan farmasi boleh menamatkan pelajaran dalam umur 23, 24 atau 25 tahun. Manakala, graduan perubatan boleh menamatkan ‘medical school’ kebiasaanya pada sekitar umur 24, 25 atau 26 tahun.

b) Adakah Pegawai Farmasi juga memperoleh “Title” & Gelaran yang sama seperti Pegawai Perubatan?
Berkenaan pangkat dan darjat, graduan MBBS atau Doktor akan mendapat title “Dr” singkatan kepada gelaran Doktor. Gelaran yang diiktiraf di seluruh dunia ini menggendong tanggungjawab & amanah yang sangat besar di sisi masyarakat. Title Dr ini amat besar maknanya dan menjadi sanjungan masyarakat terutamanya di Malaysia kerana apabila graduan berjaya menamatkan pembelajaran, mereka akan dianugerahi gelaran ini. Bagi Pegawai Farmasi pula, tiada gelaran khusus yang akan diperolehi. Biasanya Pegawai Farmasi akan dipanggil Encik, Cik, Tuan atau Puan diikuti nama mereka. Sebelum ini saya ada melihat Pegawai Farmasi yang meletakkan title Rph di belakang nama mereka, namun penggunaannya kurang meluas, sama seperti title Ir bagi golongan Engineer. Dalam aspek ini, pangkat dan darjat seorang Doktor mungkin dipandang tinggi oleh masyarakat berbanding kerjaya-kerjaya lain .

c) Gred & Gaji? Sama ke?
Apabila kita berbicara mengenai isu gred & gaji, sebenarnya agak sensitif, tapi tidak dinafikan sebenarnya ramai yang ingin tahu adakah gred & gaji antara dua pekerjaan ini sama atau tak. Berkenaan dengan gred gaji, gred gaji permulaan seorang Doktor adalah UD41. Manakala gred gaji Pegawai Farmasi adalah UF41, sama dengan gred gaji seorang Doktor Pergigian, U41, begitu juga gaji seorang guru, DG41. Bermakna, ke empat-empat kerjaya ini berada pada tingkatan yang sama iaitu 41, tetapi mungkin terdapat perbezaan daripada elaun-elaun dan elaun kritikal bergantung kepada jenis tugas seperti oncall dan sebagainya.

Namun satu analisa yang dibuat oleh portal pengambilan pekerja dalam talian, Jobstreet.com, sector Farmasi menawarkan gaji tertinggi untuk graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian dengan pendapatan RM 3600 Sebulan sebagai gaji permulaan. Menurut portal itu lagi, walaupun doktor muda boleh mencapai gaji sebanyak RM 2700, gaji mereka boleh meningkat dengan pantas kepada anggaran RM 3900 sebulan dengan hanya tiga atau empat tahun pengalaman.

unnamed

Sumber: Berita Harian

d) Tanggungjawab, waktu kerja dan cuti
Bila berbicara mengenai  gaji siapa je yang tak rasa seronok bukan? Tapi ia perlu diseimbangkan dengan bebanan tugas kerjaya. Terdapat perbezaan bebanan tugas yang amat ketara bagi seorang Doktor dengan seorang Pegawai Farmasi. Walaupun bebanan kerja dan waktu kerja bagi sebuah hospital dengan sebuah hospital yang lain adalah berbeza, namun secara relatifnya, beban tugas kerja seorang Doktor adalah amat berat berbanding beban tugas seorang Pegawai Farmasi. Sebagai contoh, waktu kerja doktor bermula seawal 6.30 pagi dan berakhir pada 5 petang 6 hari seminggu. Namun jarang sekali seorang Doktor dapat pulang awal. Kebiasaannya terpaksa pulang lewat kerana bebenan tugas yang banyak. Bebanan tugas yang banyak itu juga menyebabkan seorang Doktor sukar untuk mendapat cuti pendek mahupun panjang.

Manakala waktu kerja seorang Pegawai Farmasi adalah pada pukul 8 pagi dan tamat pada pukul 5 petang. Kebiasaannya Pegawai Farmasi mudah untuk mendapat cuti bagi menghabiskan jumlah waktu oncall jika dapat mencari penganti untuk tugas-tugas yang ada. Jadi kesimpulannya, walaupun gaji seorang Doktor adalah lebih tinggi, namun seorang Pegawai Farmasi boleh menikmati kehidupan yang lebih seimbang dengan gaji yang diperoleh. Kerja tu kerja lah juga, tapi masa untuk diri dan keluarga tidak sepatutnya diambil mudah, bukan? =)

Sebenarnya banyak lagi aspek yang boleh dibicarakan berkenaan dengan perbandingan antara kerjaya sebagai Doktor dan Pegawai Farmasi.
Kerjaya sebagai seorang Doktor adalah satu kerjaya yang mulia kerana dengan ilmu yang ada, seorang Doktor boleh menyelamatkan nyawa seseorang dan menyembuhkan penyakit yang dialami oleh seseorang pesakit

Begitu juga dengan kerjaya sebagai seorang Pegawai Farmasi. Walaupun posisi seorang Pegawai Farmasi lebih kepada ‘second line’ (di hospital) berbanding Doktor, peranan Pegawai Farmasi tidak boleh dinafikan dalam memastikan terapi yang diberikan kepada pesakit adalah bertepatan dan efektif.

Kesimpulannya, kedua- dua kerjaya ini apabila dilihat dari sudut yang mendalam, ianya melengkapi antara satu sama lain. Begitu juga dengan “Team Health Care Provider” lain di Hospital seperti jururawat, pembantu perubatan, pembantu farmasi dan sebagainya.

Akhir kata, semoga artikel kali ini memberi sedikit info yang berguna kepada anda dan moga tidak timbul lagi isu Doktor lagi berperanan dari pegawai farmasi ataupun sebaliknya.

Sekian, Wassalam. =)

Rujukan:

Akhbar Berita Harian

Top 10 Best Paying Jobs in Malaysia. Retrieved from:

http://www.jobstreet.com.my/career-resources/top-10-best-paying-jobs-in-malaysia/#.V9v-Kvl95dg

 

Rahsia MUDAH buat PRP di Farmasi Komuniti

Masih ramai graduan farmasi tahun 2015 dan 2016 yang lahir dari universiti awam mahupun swasta tercari-cari peluang dan tempat untuk menjalankan latihan Provisional Registered Pharmacist (PRP). Jika graduan perubatan perlu melalui 2 tahun tempoh latihan sebelum bergelar Medical Officer (MO), sama juga seperti graduan farmasi yang perlu menjalani latihan PRP sekurang-kurangnya setahun sebelum bergelar Fully Registered Pharmacist (FRP).

Baik, berbalik pada isu dan masalah yang baru timbul dalam masa setahun dua ini.

  • Panggilan temuduga SPA memakan masa sangat-sangat lama dari tempoh graduasi
  • Penempatan PRP di sektor kerajaan sangat terhad

Berikutan dengan itu, sektor swasta seperti farmasi komuniti juga menjadi target para graduan sebagai tapak untuk menjalani latihan PRP. Namun, banyak kekeliruan masih bermain di minda dan pada hari ini pihak rahsiafarmasi.com akan berkongsi sedikit sebanyak dengan pembaca mengenai beberapa persoalan popular yang mungkin timbul apabila terdetik untuk menjalani PRP di sektor komuniti (swasta). Mari kita lihat.

 

1) ISU PERMOHONAN DAN KONTRAK

Soalan:

Saya pemegang biasiswa JPA, dan mempunyai kontrak untuk berkhidmat dengan kerajaan. Jadi boleh saya buat PRP di farmasi komuniti?

Jawapan:

Jangan risau dan cemas. Walaupun anda sebagai JPA holder, anda juga boleh menjalani latihan PRP di premis swasta yang telah diluluskan oleh Lembaga Farmasi Malaysia.

Boleh rujuk flowchart di bawah untuk lebih faham bagaimana proses permohonan PRP di sektor swasta bagi pemegang JPA atau bukan.

star-1

 

star-2

Sumber dari: Panduan Liberalisasi Latihan PRP di Sektor Swasta Kepada Graduan Program Ijazah Farmasi

Untuk pelajar tajaan JPA, bagi diiktiraf memenuhi syarat ikatan kontrak JPA, graduan perlu membuat permohonan pendaftaran pada Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di bawah program Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR).

Urusetia STAR di TalentCorp akan membantu graduan bagi urusan pendaftaran dengan STAR (termasuk menghantar dokumen pengesahan penerimaan latihan PRP untuk kelulusan JPA). Sekiranya diluluskan, JPA akan mengeluarkan Surat Arahan Berkhidmat dan Surat Pindahan Kontrak bagi mengesahkan graduan tersebut dapat memulakan government bond di fasiliti swasta yang diiktiraf LFM.

Secara mudah, program STAR ni akan membolehkan graduan tajaan JPA menjalankan latihan PRP di sektor swasta dan menjadi ala-ala orang tengah antara kita dan JPA.

Amat penting juga di sini untuk memastikan farmasi yang anda ingin jalankan latihan PRP ada dalam senarai premis yang diluluskan oleh LFM, dan juga berdaftar di bawah STAR. Senarai syarikat yang berdaftar dengan STAR boleh dirujuk di sini.

Soalan:

Berapa lamakah kontrak saya di sektor swasta, adakah sama seperti di sektor kerajaan?

Jawapan:

Ya. Kontrak tetap 6 tahun di bawah program STAR, sama seperti dalam perjanjian JPA. Terdapat situasi farmasi yang kita buat latihan PRP buat perjanjian 1 tahun PRP + 3 tahun FRP, jadi masih berbaki 2 tahun untuk menamatkan kontrak tersebut. Jadi, tempoh 2 tahun berbaki boleh disambung di mana-mana syarikat yang lain termasuklah di dalam bidang industri. Namun, perlu diingatkan dalam tempoh kontrak 6 tahun tersebut, maksimum dua syarikat sahaja yang dibenarkan.

 

2) ISU GAJI

Soalan:

Berapa gaji yang ditawarkan untuk PRP di community setting?

Jawapan:

Untuk perkhidmatan di sektor swasta, tiada gaji asas diletakkan seperti di sektor kerajaan. Jadi, taraf gaji di atas budi bicara majikan dan syarikat tersebut.

 

3) ISU KURANG PENGALAMAN BERBANDING BEKERJA DI SEKTOR KERAJAAN

Soalan:

Bagaimanakah bentuk ‘training’ yang dijalankan di farmasi komuniti?

Jawapan:

Untuk makluman anda, setiap PRP perlu menjalani latihan mengikut jadual latihan yang telah ditetapkan di dalam buku log ‘Record of training and experience of Provisionally Registered Pharmacist (PRP)’ yang perlu dimuat turun dari sini. Pengalaman bekerja di sektor swasta semestinya agak berbeza dengan ahli farmasi yang bekerja di hospital kerajaan. Namun, kelebihannya juga banyak dan skop kerja juga boleh menjadi lebih menarik.

community

 

4) LAIN-LAIN

Soalan:

Jika saya sedang menjalani latihan PRP di farmasi komuniti, dan tiba-tiba dapat panggilan masuk ke government?

Jawapan:

Anda boleh pilih untuk kekal atau masuk ke government. Jika anda pilih untuk bertukar, maksudnya anda akan bermula PRP dari awal semula di sektor kerajaan. Tiada istilah ‘sambungan’ dari tempoh PRP anda di sektor swasta sebelum ini.

 


Laluan graduan farmasi sekarang lebih mencabar. Setiap peluang perlu digunakan sehabis baik. Semoga kita semua dapat menjadi ahli farmasi yang dapat berkhidmat pada masyarakat dengan sebaiknya walau di mana juga posisi kita.

Semoga ini dapat memudahkan graduan farmasi terutamanya JPA holder untuk memahami tentang isu-isu yang timbul untuk membuat PRP di sektor swasta ^^

#farmasibukanlagisaturahsia


Rujukan:

http://www.pharmacy.gov.my/

https://www.star.talentcorp.com.my/

Panduan Liberalisasi Latihan PRP di Sektor Swasta Kepada Graduan Program Ijazah Farmasi

Encik Syaifullah Ismail, graduan farmasi UIAM Kuantan

PEGAWAI FARMASI KERAJAAN vs AHLI FARMASI SWASTA – Maklumat Penting Untuk Memastikan Kepatuhan Ubat-Ubatan

Ramai lagi masyarakat yang masih tak tau tentang ini.

Sama je, atau ada beza?

Jawapannya, pegawai farmasi yang bekerja di sektor awam (kerajaan) dan ahli farmasi yang bekerja di syarikat swasta, semestinya ada persamaan dan ada juga perbezaan.

************************************************

were-hiring-3
[ IKLAN BERBAYAR ]
 ************************************************

Perkara ini penting bagi membetulkan persepsi masyarakat. Persepsi yang betul dapat membetulkan sikap masyarakat terhadap ubat-ubatan yang diberikan oleh ahli farmasi.

Akhir sekali, kepatuhan makan ubat (medication adherence) dapat dicapai.

Jadi, kami di RahsiaFarmasi.com rasa terpanggil untuk berkongsi maklumat ini.

Pegawai Farmasi Kerajaan

Secara umumnya, apabila kita cakap pasal pegawai farmasi kerajaan je, orang akan terbayang mereka yang pakai white coat, duduk kat kaunter farmasi, hospital kerajaan.

Ya, betul. Ini adalah salah satu bidang tugas pegawai farmasi kerajaan.

Term yang digunakan ialah farmasi pesakit luar (outpatient pharmacy). Farmasi pesakit luar ada di hospital dan klinik kesihatan kerjaan.

Selain itu, masih banyak lagi bidang tugas pegawai farmasi kerajaan, termasuklah yang bekerja di farmasi pesakit dalam, farmasi logistik, farmasi yang bekerja di makmal (TPN, CDR, NPRA), penguatkuasa farmasi, pensyarah di universiti awam dan lain-lain lagi.

Namun, artikel kali ini lebih menfokuskan kepada farmasi pesakit luar.

Ahli Farmasi Swasta

Apabila kita cakap pasal ahli farmasi swasta je, mesti juga akan terbayang mereka yang pakai white coat, duduk kat kaunter farmasi, di kedai farmasi.

Ya, betul. Ini adalah salah satu bidang tugas ahli farmasi swasta.

Term yang biasa digunakan suatu masa dahulu ialah “retail pharmacist”.

Sekarang, term baru yang lebih menyeluruh telah digunakan, iaitu “community pharmacist” (farmasi komuniti).

img-20160909-wa0004
Sumber gambar: FB Page Farmasi Nadiah

Selain farmasi komuniti, masih banyak lagi bidang kerja farmasi swasta sebenarnya, macam yang bekerja di hospital swasta, kilang ubat, regulatori dan pensyarah di universiti swasta.

Namun, artikel kali ini lebih menfokuskan kepada farmasi komuniti.

Persamaan

Dua-dua ahli farmasi yang kerja di kerajaan dan swasta, perlu mempunyai ijazah sarjana muda farmasi daripada universiti yang diiktiraf.

Jadi, penting untuk masyarakat tau yang ahli farmasi ini dilatih selama 4 tahun di universiti.

Semuanya berkaitan ubat-ubatan, termasuklah cara makan dan cara simpan.

Kesan sampingan, interaksi antara ubat-ubatan dan dos yang sesuai juga ada.

Oleh itu, apa juga nasihat yang diberikan oleh ahli farmasi tentang ubat-ubatan adalah berdasarkan ilmu yang diyakini.

Mungkin kita rasa macam senang je kerja farmasi, bagi ubat kat pesakit, cakap sikit-sikit je.

Sebenarnya, apa juga maklumat yang diberitahu itu adalah ringkasan kepada semua maklumat yang dah dianalisa sebelumnya, yang terdiri daripada:

  • nama ubat yang betul,
  • bentuk ubat yang betul,
  • masa yang betul,
  • dos yang betul dan
  • pesakit yang betul.
farmasi-hospital
Sumber gambar: www.pharmacy.gov.my

Selebihnya, pesakit boleh tanya lebih lanjut semasa kaunseling ubat-ubatan daripada ahli farmasi.

Maklumat diberikan berdasarkan permintaan, kerana kadang-kadang ada orang yang nak cepat dan dah sedia maklum tentang maklumat ini.

Majoriti pesakit yang mengambil ubat di farmasi adalah mereka yang dah biasa ambil ubat ni (dah ada follow-up appointment).

Consultation yang diberikan adalah secara percuma, bagi memastikan “pharmaceutical care” dicapai.

Ini hanyalah salah satu persamaan yang ditekankan dalam artikel ini, kerana ia berkait rapat dalam memastikan pesakit patuh terhadap pengambilan ubat masing-masing.

Selain persamaan ini, ada juga perbezaan ketara antara pegawai farmasi kerajaan dan ahli farmasi swasta.

Perbezaan Pertama – Dispensing Separation

Perbezaan paling besar ialah “dispensing separation”, iaitu pengasingan aktiviti “prescribing” dan “dispensing”.

Secara bahasa mudahnya, prescribing ialah aktiviti menetapkan ubat yang sesuai kepada pesakit berdasarkan diagnosis yang telah dikenalpasti oleh doktor dengan menulis maklumat tersebut di dalam slip ubat (prescription).

Dispensing pula ialah aktiviti menterjemahkan maklumat daripada slip ubat (prescription) kepada aktiviti pengenalpastian dan pengambilan ubat tersebut dari rak simpanan farmasi, seterusnya diserahkan kepada pesakit, lengkap dengan maklumat yang berkaitan.

Di Malaysia, hanya hospital dan klinik kerajaan yang masih mengekalkan dispensing separation ini, di mana doktor yang prescribe ubat, pesakit bawa prescription ke farmasi, dan akhirnya ahli farmasi yang dispense ubat tersebut.

Namun, untuk sektor swasta, tidak terjadi seperti ini.

Pesakit pergi ke klinik swasta, doktor prescribe ubat, tapi prescription itu diberikan sendiri oleh doktor kepada pembantu klinik yang menjaga di kaunter ubat, di klinik tersebut juga.

Pembantu klinik dispense ubat di dalam klinik tersebut dengan seliaan doktor yang sama.

Tiada penghantaran prescription ke ahli farmasi komuniti dalam sistem perubatan di sektor swasta ini.

Jadi, penting untuk masyarakat tau yang pembantu klinik tersebut hanya memerlukan kelulusan lepasan SPM sahaja.

Banyak ilmu yang tertinggal, berbanding dengan 4 tahun belajar farmasi di universiti.

Analogi yang kita boleh ambil ialah graduan universiti yang ada ijazah sastera, nak sambung master dalam bidang sains biologi.

Melibatkan banyak kerja-kerja makmal. Adakah boleh?

Daripada requirement untuk daftar master di universiti berkenaan lagi tak boleh.

Macam mana pula kalau graduan universiti yang ada ijazah dalam bidang engineering?

Mungkin boleh, tapi banyak la alat yang pecah dan rosak nanti. Sebab tak de latihan untuk buat kerja makmal biologi ni pada masa degree dulu.

Sama juga macam situasi ini.

Idealnya, adalah sistem yang diamalkan di hospital dan klinik kesihatan kerajaan.

Setelah doktor prescribe, pegawai farmasi dapat melakukan dispense dengan berkesan kerana adanya sistem “counterchecking”.

Counterchecking ialah pemeriksaan menyeluruh kepada prescription tersebut untuk mengelakkan “medication error”.

Sumber gambar: farmasi.ummc.edu.my
Sumber gambar: farmasi.ummc.edu.my

Contoh medication error ialah:

  • salah nama ubat,
  • salah dos ubat,
  • salah pesakit,
  • salah masa dan
  • salah cara masuk ubat.

Kat luar negara macam UK dah ada dispensing separation ni.

Even kat negara jiran kita Indonesia pun dah implement.

Di Malaysia, farmasi komuniti hanya akan dapat prescription dalam situasi tertentu sahaja, seperti;

  • takde stok ubat di hospital kerajaan dan swasta
  • request pesakit sendiri untuk bawak prescription doktor tu ke farmasi komuniti pilihan masing-masing

Penting juga untuk masyarakat tau yang prescription ni tertakluk kepada beberapa jenis ubat sahaja.

Ada juga jenis ubat yang tak memerlukan prescription.

Jadi, ubat yang dalam kategori ini sahaja lah, boleh didapatkan terus di mana-mana farmasi komuniti.

att_1473521224407_img-20160909-wa0003
Sumber gambar: FB Page Farmasi Nadiah

Perbezaan Kedua – Laluan Kerjaya

Di sektor awam (kerajaan), graduan universiti yang mempunyai ijazah sarjana muda farmasi perlu menjalani latihan setahun yang dinamakan sebagai Provisionally Registered Pharmacist (PRP).

Setelah itu, barulah pegawai farmasi penuh atau Fully Registered Pharmacist (FRP) akan dilantik.

Di sektor swasta, untuk tahun-tahun sebelum ini, tiada PRP yang dibenarkan bekerja di farmasi komuniti.

Hanya FRP dengan lesen yang tertentu sahaja dibenarkan memohon kerja di farmasi komuniti.

Jadi, masalah kekurangan ahli farmasi di farmasi komuniti ialah satu isu yang besar.

Walaupun sekarang ini sudah ada polisi baru yang membenarkan latihan PRP dilakukan di farmasi komuniti yang terpilih, tidak banyak pilihan farmasi komuniti yang ada.

Ini kerana, bagi melayakkan farmasi komuniti itu mengambil PRP, perlu ada ahli farmasi yang bekerja tetap di farmasi komuniti tersebut dengan syarat-syarat yang tertentu.

Oleh itu, banyaklah iklan jawatan kosong yang mencari ahli farmasi sekarang ni.

Contonya seperti yang boleh didapati daripada Farmasi Nadiah ini:

[REGISTERED PHARMACIST NEEDED]

To those who are interested to work as resident pharmacist in Kuantan, Pahang.

The details are as below:

Pharmacy : Farmasi Nadiah

Location : Farmasi Nadiah

B-33, Tingkat Bawah,

Lorong Kempadang Aman,

25150, Kuantan, Pahang.

For more information, kindly contact:

Ms. Nadiah – 019-777 7699

Berkaitan maklumat lain, farmasi komuniti (contohnya Farmasi Nadiah ni) waktu kerja sehari ialah 8 jam untuk hari Isnin hingga Jumaat, 4 jam untuk Sabtu dan Ahad.

Cuti adalah sehari seminggu (cuti weekend is negotiable).

Public holiday dan cuti tahunan – ikut akta buruh

Gaji farmasi komuniti ialah RM5000 (negotiable)

Jobscope : berkaitan dengan retail seperti sales untuk poison. Incharge customer counselling.

Lokasi Farmasi Nadiah; dekat mainroad, sebelah 7e dan DIY. Salah satu jalan utama Pekan ke Kuantan

Daripada laluan kerjaya ni sendiri, masyarakat boleh nampak yang bukan sesiapa sahaja boleh jadi ahli farmasi.

Hanya yang terlatih dalam bidang ni baru boleh jadi ahlinya.

Jadi, apa sahaja kaunseling ubat-ubatan yang diberikan oleh ahli farmasi, sememangnya untuk memastikan pesakit dapat yang terbaik daripada ubat mereka.

Bukanlah ada kepentingan mana2 syarikat farmaseutikal.

Tambah lagi, apabila pesakit datang ke farmasi komuniti, jenis ubat yang berbeza boleh dipilih, berdasarkan harga.

Bukan seperti di klinik swasta, yang biasanya keputusan untuk memilih ubat (selalunya ubat yang  mahal) adalah totally terletak di tangan doktor.

Sebabnya, untuk satu jenis penyakit sahaja, ada pelbagai jenis ubat dengan harga yang berbeza tetapi fungsi yang sama.

Maklumat ini adalah rahsia farmasi, yang hanya mahu dikongsikan oleh ahli farmasi sahaja.

Kesimpulan

Apabila masyarakat tau tentang persamaan dan perbezaan kerjaya farmasi di sektor awam dan swasta, mereka akan lebih menghargai maklumat yang diberikan oleh profession ini.

Kaunseling ubat-ubatan itu adalah berdasarkan ilmu yang benar, dengan hanya satu matlamat, iaitu kesejahteraan pesakit itu sendiri.

img-20160909-wa0005
Sumber gambar: FB Page Farmasi Nadiah

Maklumat lanjut tentang iklan jawatan kosong ahli farmai ini boleh didapati di:

Facebook Page Farmasi Nadiah

Kerjaya sebagai seorang ahli farmasi

“ Dekat universiti ambil jurusan apa?”

‘Farmasi’

“ Ooo dekat hospital nanti bagi ubat dekat kaunter lah ye?”

***********************************************

“ Anak makcik belajar apa dekat universiti?”

‘ Farmasi’

“ Ohh bagus farmasi ni makcik. Boleh buat bisnes nanti”

Situasi sebegini seringkali berlaku dalam masyarakat kita hari ni. Perbualan sebegitu kerap kali didengari oleh golongan mahasiswa. Kefahaman ini tidak salah. Cuma kami, dari rahsiafarmasi.com rasa terpanggil untuk menambah dan berkongsi beberapa input menarik mengenai kerjaya sebagai seorang ahli farmasi.

Sebut sahaja farmasi, pasti terlintas di dalam fikiran kita mengenai ubat-ubatan. Kerjaya sebagai ahli farmasi berkait rapat dengan penjagaan farmaseutikal ( pharmaceutical care).

Apakah itu penjagaan farmaseutikal?

Penjagaan farmaseutikal adalah merupakan skop utama sebagai seorang ahli farmasi. Ahli farmasi mestilah membantu pesakit mencapai dan mengekalkan taraf kesihatan yang optima serta meningkatkan kualiti hidup pesakit dengan membekalkan ubat dengan selamat.

Apakah bidang- bidang yang boleh dikuasai oleh ahli farmasi?

  • Hospital awam/swasta
    • Tugas sebagai seorang ahli farmasi di hospital sudah tidak janggal lagi. Masyarakat sudah arif tentang kewujudan mereka di hospital. Di hospital, ahli farmasi akan bertugas di beberapa unit jabatan farmasi iaitu unit pesakit luar ( outpatient), pesakit dalam ( inpatient), klinikal ( clinical), pusat maklumat ubat ( DIC), nutrisi parenteral (TPN), rekonstitusi ubat sitotoksik ( CDR), pemonitoran ubat terapeutik ( TDM) dan logistic. Secara ringkasnya, tugas ahli farmasi di hospital adalah memeriksa preskripsi ubat ( screening prescription), memberi kaunseling kepada pesakit ( counseling patient) dan membekalkan ubat ( dispense medications).
Kaunsel pesakit tentang pengambilan ubat adalah salah satu bidang tugas ahli farmasi.
Kaunsel pesakit tentang pengambilan ubat adalah salah satu bidang tugas ahli farmasi.

 

  • Kedai farmasi ( retail pharmacy)
    • Bisnes adalah salah satu bidang di dalam farmasi. Kedai farmasi dibuka untuk menjual ubat-ubatan mengikut keperluan pesakit. Namun, tidak semua ubat-ubatan boleh dijual di kedai farmasi. Terdapat beberapa jenis ubat yang memerlukan preskripsi ubat dari doktor sebelum mendapatkannya. Ahli farmasi yang bekerja di kedai farmasi ditugaskan untuk memberi cadangan ubat kepada pesakit mengikut keperluan mereka. Ubat yang dicadangkan mestilah sesuai dengan keadaan pesakit dan selamat digunakan oleh pesakit tersebut. Terdapat beberapa faktor yang diambil kira dalam menentukan kesusaian ubat kepada para pesakit. Selain itu, ahli farmasi juga hendaklah membuat ‘bisnes plan’ dan bijak menguruskan kewangan.
  • Kilang ubat ( industrial pharmacy)
    • Apabila menyebut mengenai ‘industrial pharmacy’, ramai dalam kalangan kita yang masih tertanya-tanya apakah skop kerja ahli farmasi di dalam bidang ini? Untuk menghasilkan ubat yang berkualiti, sudah tentu ia melibatkan seseorang yang pakar mengenai ubat-ubatan. Saiz ubat, bentuk ubat dan kandungan di dalam ubat merupakan beberapa faktor yang mempengaruhi kualiti ubat yang dihasilkan. Ahli farmasi bertanggungjawab dalam memastikan kualiti ubat yang dihasilkan dengan membuat pemeriksaan (inspection) ketika ubat dihasilkan. Kerja-kerja yang dilaksanakan hendaklah mengikut ‘ Good Manufacturing Practice ( GMP)’ dan garis panduan yang ditetapkan.
Salah satu kilang farmaseutikal yang terkenal di negara kita.
Salah satu kilang farmaseutikal yang terkenal di negara kita.

 

  • Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan ( Regulatory/enforcement pharmacy)
    • Ahli farmasi yang berkhidmat di BPFK atau nama barunya, Agensi Regulatory Farmasi Negara terlibat di dalam pendaftaran ubat. Mereka juga boleh diibaratkan seperti polis. Mereka akan membuat pemeriksaan di premis-premis yang menjual ubat-ubatan terutamanya ubat traditional. Sekiranya mereka dapati produk yang dijual tidak mendapat kelulusan dari KKM, maka tindakan akan diambil mengikut undang-undang yang berkaitan dengannya. Antara undang-undang yang popular adalah Akta Racun 1952, Akta Ubat ( Iklan dan Penjualan) 1956 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Laman sesawang NPRA. Di sini, orang awam boleh memeriksa status pendaftaran ubat-ubatan dan produk-produk yang diambil.
Laman sesawang NPRA. Di sini, orang awam boleh memeriksa status pendaftaran ubat-ubatan dan produk-produk yang diambil.

 

  • Ahli akademik ( academician)
    • Terdapat sesetengah ahli farmasi yang meminati bidang pendidikan. Golongan sebegini akan berkhidmat di universiti-universiti sebagai pensyarah. Mereka lebih melaksanakan ‘research’ berkaitan dengan ilmu farmasi. Pencarian dan penemuan baru akan dikongsi bersama dan didalami lagi oleh ahli-ahli farmasi yang lain. Ilmu yang mereka kongsikan dapat melahirkan lebih ramai ahli-ahli farmasi yang berkualiti dan competent dalam kerjayanya.
  • Farmasi tentera ( Military pharmacy)
    • Mungkin ramai di antara kita yang kurang lazim dengan kerjaya sebagai farmasi tentera ini. ‘Military pharmacy’ adalah ahli farmasi yang bertugas di hospital atau klinik angkatan tentera. Skop kerjanya adalah tidak jauh beza dengan ahli farmasi yang berkhidmat di hospital kerajaan/swasta.

Kesimpulannya, bidang kerjaya sebagai seorang ahli farmasi adalah meluas. Ia bergantung kepada individu tersebut untuk memilih bidang apa yang mereka ingin kuasai.

Setakat ini sahaja perkongsian kami untuk kali ini. Nantikan artikel kami yang seterusnya. Terima kasih 🙂