1

Cara Notifikasi Produk Kosmetik (NOT)

Ramai dalam kalangan kita sangat berminat dengan idea kecantikan, menjaga penampilan diri mahupun berpegang teguh dengan konsep ‘Beauty can boost confidence level’. Sekilas pandang, kaum wanita mungkin lebih tertarik dalam penggunaan barangan kosmetik untuk mencapai hasrat tersebut tanpa menafikan kaum adam juga tidak ketinggalan dalam fenomena menambah baik penampilan luaran mereka.

Disebabkan kecaknaan masyarakat untuk menjaga penampilan diri semakin menggunung, produk kecantikan dan penjagaan diri mendapat tempat yang memberangsangkan di hati pengguna. Produk-produk ini lahir umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan dan mendapat perhatian semua lapisan masyarakat. Betul bukan?

Apakah itu produk kosmetik?

Baik, dalam kata mudah, anda boleh faham kosmetik sebagai bahan atau persediaan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh badan manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir, gigi dan rongga mulut untuk tujuan membersih, mewangi, mencantikkan kulit wajah, menghilangkan bau badan, melindungi atau menjaga diri agar sentiasa dalam keadaan yang baik.

Sumber : Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia

Bagaimana mahu mendapatkan nombor notifikasi bagi produk kosmetik anda?

Kebelakangan ini, lahir ramai usahawan muda yang menceburkan diri dalam dunia bisnes yang mengetengahkan produk kosmetik seperti lipstik, eye liner, dan lain-lain sebagai produk pilihan. Untuk makluman, sebelum produk-produk ini dipasarkan, proses notifikasi perlu dilakukan terlebih dahulu melalui National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA).

Contoh nombor notifikasi pada produk kosmetik: NOT_ _ _ _ _ _ _ _  K

Produk Kosmetik di Malaysia adalah di bawah kawalan ‘Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984’, ASEAN Cosmetic Directives (ACD) dan Guideline for Control of Cosmetic Product in Malaysia yang dipantau oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara unit kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini adalah bagi menjamin  produk kosmetik yang berada di pasaran adalah berkualiti dan selamat digunakan.

Jika berminat untuk mendapatkan nombor notifikasi bagi produk anda, antara perkara yang perlu diketahui ialah:

  • Proses permohonan boleh dilakukan secara ‘online’ melalui laman web National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA), Quest 3+. Sistem baru aplikasi QUEST3+ (modul kosmetik notifikasi) ini telah dilancarkan pada 1 Ogos 2016 yang lalu.

2

  • Pemohon perlu mengisi borang notifikasi produk secara lengkap (untuk rujukan, boleh lihat dokumen Annex 1, part 3, Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia) sehingga selesai semua proses termasuk urusan pembayaran. Sila rujuk di bahagian Guidelines Central di laman web NPRA.

3

  • Nombor notifikasi akan dikeluarkan dalam tempoh 1-3 hari selepas urusan pembayaran selesai dan disahkan oleh NPRA. Urusan mendapatkan nombor notifikasi bagi produk kosmetik tidak memakan masa yang lama seperti produk farmaseutikal lain, contohnya ubat terkawal yang boleh mencecah berbulan-bulan atau setahun.

Masih banyak yang perlu diambil kira dalam proses mendapatkan nombor notifikasi bagi produk anda. Kos permohonan, bahan yang dibenarkan dalam produk, bahan terlarang (eg: tretinoin, merkuri, dan hydroquinone), tempoh sah nombor notifikasi, cara penglabelan produk dan lain-lain. Proses dan maklumat ini boleh diperoleh secara menyeluruh di laman web rasmi NPRA.

Info tambahan dan menarik, logo halal boleh digunakan pada produk kosmetik dengan syarat mendapat persijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Jakim. Walau bagaimanapun, penggunaan logo halal ini bukan mandatari dan bergantung kepada permohonan sijil oleh pihak pengilang/pengedar.

4

Sumber: Drug Registration Guidance Document (DRGD)

Kenapa produk kosmetik mendapatkan nombor notifikasi?

Jadi di sini, mesti ada antara kita yang terfikir,

‘Apa kepentingan mendapatkan nombor notifikasi ini ataupun kenapa pentingnya mendapatkan produk yang mempunyai nombor notifikasi?’

Syarikat yang memasarkan kosmetik bertanggungjawab untuk memastikan produk kosmetik mereka selamat, berkualiti serta tuntutan produk yang dinyatakan pada label atau iklan dapat disokong dengan bukti dokumentasi mencukupi . Melalui sistem notifikasi kosmetik, NPRA sebagai agensi regulatori boleh untuk menyemak semua maklumat berkaitan produk kosmetik yang bernotifikasi melalui sistem pangkalan data.

Tindakan seperti pembatalan notifikasi akan dikenakan terhadap produk kosmetik yang gagal mematuhi keperluan garis panduan dan undang-undang yang ditetapkan. Ini termasuklah produk-produk kosmetik yang dikesan positif mengandungi bahan yang tersenarai dalam Senarai Racun Berjadual di bawah Akta Racun 1952.

Bagi produk kosmetik yang didapati gagal ujian makmal NPRA, syarikat akan diarahkan untuk membuat panggil balik (product recall) produk terlibat daripada pasaran dalam tempoh yang ditetapkan dan seterusnya melupuskan produk kosmetik terlibat. Boleh rujuk produk yang telah dipanggil balik di sini.

Secara ringkas, pendokumentasian melalui kaedah nombor notifikasi ini akan membantu pihak NPRA dalam mengesan produk kosmetik yang gagal mematuhi keperluan garis panduan dan undang-undang yang ditetapkan.

Apa usaha lain pihak NPRA dalam memastikan keselamatan produk kosmetik?

NPRA menjalankan pemantauan terhadap produk kosmetik di pasaran secara berterusan melalui aktiviti surveilans. Ini bagi memastikan produk kosmetik di pasaran mematuhi keperluan undang-undang dan garis panduan yang telah ditetapkan. Bagi mendapatkan sampel daripada pihak syarikat untuk tujuan pengujian makmal NPRA, pelbagai cara dilaksanakan seperti membuat pembelian produk kosmetik di pasaran dan turut berkerjasama dengan Bahagian Penguatkuasa Farmasi, KKM.


Disebabkan produk kosmetik menjadi keperluan semua golongan masyarakat tidak mengira peringkat umur, anda sebagai pengguna harus mengambil langkah bertanggung jawab bagi memastikan produk yang diguna berdaftar dan kosmetik yang dipakai mempunyai nombor notifikasi. Anda boleh rujuk post sebelum ini bagi cara menyemak nombor notifikasi produk kosmetik anda, Semakan Ubat Berdaftar Kini Di Hujung Jari.

Cantik dan sihat dua perkara yang amat berbeza. Jom jadi pengguna bijak.. Wassalam

Rujukan:

Laman web National Pharmaceutical Regulatory Agency 

http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms

Facebook Comments

One thought on “Cara Notifikasi Produk Kosmetik (NOT)”

  1. Hi, tumpang tanya, saya berminat utk membeli beberapa produk kosmetik dari US & produk tersebut sudah ada notifikasi drpd salah satu usahawan tempatan.

    Perlukah saya membuat notifikasi juga?

    Terima kasih 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *